Thursday, April 30, 2009

Perginya seorang umat Muhammad SAW (Nenekku)

Gambar hiasan

Dikala aku sibuk dengan tugasan harian di kota besar Kuala Lumpur, dimalam hari, terdengar deringan telefon tanganku berbunyi mengatakan nenekku nazak serta tenat dikampung kelahiranku, Kelantan. Terasa degupan jantungku berdegup kencang ibarat dihempas dek ribut yang begitu kuat. Entah bagaimana, nafasku tercungap-cungap, pelbagai prasangka didalam benak fikiranku. Ayahku memaksaku pulang segera pada malam tersebut kerana kemungkinan besar nenekku akan pergi buat selama-lamanya. Berbekalkan doa dan istighfar, aku menyuruh rakan karibku membeli tiket bas serta merta dan alhamdulillah masih ada walaupun agak lewat membelinya. Tepat jam 10 malam, aku terus ke stesen bas Putra berbekalkan kecekalan serta panik seketika, terus menaiki bas tersebut dengan keadaan yang agak pantas. Syukurpada Allah atas kurniaanNya memberiku ruang untuk pulang kekampung menziarahi nenek.

Lagu "AllahuRabbi" serta "Redha" nyanyian Inteam reunited (album baru) menggamit telingaku disaat aku didalam bas kerana ianya dapat mengubat rasa rinduku pada nenekku yang banyak membuat jasa padaku dikala ia masih gagah dan kuat. Lagunya begitu puitis dan terus melenakan tubuhku yang teramat penat dek kerana mengejar masa yang begitu suntuk tadi. Tepat jam 4.30 pagi, keindahan kota raya Islam Kota Bharu mengejutku dari tidur yang kurang lena kerana goncatan bas kekiri dan kekanan begitu membuatku sedar tak sedar. Tiba dirumah agamku, ramai saudara mara berhimpun menungguku pulang, ada dari Penang, dari Kuala Lumpur sendiri. Alangkah ramainya.

Dikala suasana sepi, diselingi angin merdu dan cengkerik di pagi hari, tubuh nenek yang terlunjur kaku menyebabkan air mata keinsafanku rebah kebumi bersama hati yang selalu membuat dosa kepadaNya. Ya Allah, Kau ampunkan segala dosaku yang selama ini jauh dariMu..amin. Aku dan beberapa saudaraku menyiapkan tempat mandian jenazah nenek serta peralatan yang diperlukan. Selepas solat Jumaat, kami solat jenazah dan terus simpan tubuh nenek di Tanah Perkuburan Islam Paya Bemban bersama kubur datuk dan nenek sebelah ayah. Perginya seorang umat Muhammad SAW yang begitu besar pengorbanannya pada dunia. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dengan seluas-luasnya. Amin.

Ku hadiahkan catatan hati ini pada:
1. Ibu ayah
2. Para pensyarah
3. Rakan searah