Tuesday, January 12, 2010

Penasyid Adalah Daie Dan Murabbi

Sekadar Hiasan
Usaha berterusan perlu dibuat untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan nasyid sebagai media hiburan dan pendidikan. Kualiti nasyid mesti dipertingkatkan dengan menambah nilai (‘add value’) pada elemen-elemen utamanya seperti lirik, melodi dan alat-alat muzik dan yang lebih penting elemen kemanusiaannya – yakni mereka yang terlibat dalam proses penerbitannya seperti penasyid, komposer, penerbit, pemuzik dan penulis lirik.
Semua pihak perlu rajin dan kreatif membuat R&D – mencari nilai saintifik, artistik dan autentik untuk memantapkan nasyid. Kreatif tapi tetap bertunjangkan syariat. Inovatif tetapi terus beradab. Cuma diingatkan, apa yang ada dalam diri penasyid itulah yang akan lahir sebagai produknya. Mudah-mudahan dijauhkan daripada terpaksa berlegar-legar pada idea yang telah “direcycle” berkali-kali. Carilah “rasa hati” baru yang segar, murni dan benar-benar sejati untuk diberikan pada masyarakat! Jika kita tulus, nescaya jalan kita lurus (dipermudahkan). Insya-Allah!
Hakikat ini wajib disedari oleh kumpulan-kumpulan nasyid dan kini begitu ghairah mengorak langkah pembaharuan, perubahan, peningkatan serta kepelbagaian dari segi melodi, lirik, alat muzik, stail dan imej diri. Apakah usaha mereka ini telah menemui ‘track’ yang betul atau sekadar tercari-cari dan akhirnya terpaksa melakukan pusingan U semula – kembali ke asal? Wallahua’lam.
Atau sedikit demi sedikit mula tersasar dalam eksperimen yang dianggap ‘menjadi’ (tetapi terpaksa menggadaikan nilai-nilai yang lebih murni) dan di hujung nanti berakhir dengan tragedi – dunia dan akhirat melepas! Atau keperibadian turut luntur dan terbentur dalam asakan dan godaan cara hidup hedonisme hingga turut terbawa-bawa dalam arus budaya popular tanpa sedar jati diri sendiri (sebagai daie dan murabbi) semakin terhakis? Fikir-fikirkanlah, atas dasar sayang kita mengingatkan, atas dasar kasih kita turut membimbangkan.


Sumber lengkap : Genta Rasa

No comments: